Saturday 17 September 2011

Usia Remaja Titik Peralihan


Pada tahun 1952, majalah Reader's Digest telah memaparkan sebuah artikel bertajuk "Cancer by the Carton". Artikel tersebut mendedahkan bahawa merokok membahayakan kesihatan. Kajian jelas membuktikan kaitan di antara kanser paru-paru dan lain-lain penyakit dengan tabiat merokok. Artikel tersebut telah mencetuskan tindak balas berantai.

Berikutan dari itu, banyak lagi artikel berkaitan subjek tersebut muncul di dada-dada akhbar dan majalah lain. Disebabkan oleh kekecohan tersebut, jualan rokok menurun pada tahun seterusnya. Bekas-bekas perokok, bersenjatakan berita yang telah dijangkakan ini, mula bertindak menyaman syarikat-syarikat pengeluar rokok.



Syarikat-syarikat pengeluar rokok pula menyanggah dakwaan ini habis-habisan. Tahun demi tahun, dunia perundangan terpecah kepada dua pihak: satu pihak menyebelahi industri tembakau manakala pihak yang satu lagi sebaliknya. Kegawatan ini berterusan sehinggalah menjelang tahun 1999 apabila sebuah syarikat pengeluar rokok utama telah mengambil langkah mengejut mengakui bahawa "merokok mengakibatkan ketagihan, ia menyebabkan kanser paru-paru, penyakit jantung, emfisema dan lain-lain penyakit serius" dan "rokok yang selamat" sebenarnya tidak wujud. Namun hakikatnya, sebelum artikel "Cancer by the Carton" diterbitkan, syarikat-syarikat pengeluar rokok mengaut keuntungan yang begitu lumayan kerana berjaya meyakinkan remaja dalam lingkungan 14 hingga 17 tahun untuk mula merokok.

Ketagih Tembakau

Malah, sehingga tahun 1967, majoriti penghisap rokok adalah remaja lelaki dalam lingkungan umur 14 hingga 17 tahun. Kajian menunjukkan bahawa 80% perokok mula ketagih produk tembakau ini sebelum mereka mencecah usia 18 tahun. Sebelum iklan rokok diharamkan di dalam media massa, syarikat-syarikat pengeluar rokok sering meletakkan iklan rokok bagi jenama yang digemari remaja di dalam majalah-majalah tatapan remaja.

Bagaimana pula dengan suasana di Malaysia? Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, kajian membuktikan bahawa setiap hari di Malaysia "kira-kira 30% daripada remaja lelaki (berumur antara 12 dan 18 tahun) merokok." Ini bermakna, purata tiga daripada setiap sepuluh orang remaja merokok setiap hari.

Model Muda

Industri tembakau bukanlah satu-satunya perusahaan komersial yang mengetahui betapa menguntungkannya sesuatu perniagaan itu jika remaja menjadi sasaran. Saya masih ingat, sedikit masa dahulu, di sebuah jalan paling sibuk di Kuala Lumpur, terpampang sebuah papan iklan yang boleh dilihat jelas oleh para pemandu yang berbatu-batu jauhnya.Ia menayangkan ragam seorang anak muda sedang berbicara menerusi telefon bimbit, iaitu produk yang dipromosikan oleh papan iklan tersebut. Mengapakah wajah yang terpampang di papan iklan tersebut cukup muda untuk dianggap sebagai remaja? Mengapakah pengiklan memilih model yang muda belia untuk mempromosikan sesuatu yang baru dan bergaya sedangkan mereka mengetahui bahawa kebanyakan remaja belum mempunyai sumber pendapatan?

Revolusi Otak

Anak lelaki dan perempuan mengalami perubahan yang kritikal pada usia remaja. Perubahan ini bukan sekadar perubahan suara dan pembesaran yang pesat. Otak remaja juga melalui REVOLUSI YANG HEBAT. Rangkaian dan penyambungan baru terbentuk secara semula jadi di dalam otak, terutama dalam bahagian lobus frontal. Inilah juga masa di mana anak anda cuba untuk mendapat tempat di kalangan rakan-rakannya, lebih berbanding masa lain.

Ketika bersendirian, anak remaja anda akan merenung dan mencari erti kehidupan dan cuba memahami perkara yang berlaku di sekelilingnya. Pada usia remaja, anak anda mencari identiti diri dan cuba mengenali siapa dirinya. Situasi ini cukup bagus untuk mendorong para pengiklan menjadikan remaja sebagai sasaran. Para pengiklan peka bahawa:

  • Setiap remaja melalui proses mencari identiti. Oleh itu, remaja mudah dipengaruhi. Ramai remaja akan mengaitkan diri mereka dengan remaja yang terpampang di papan iklan. Kebanyakan remaja masih belum mempunyai sumber pendapatan, tetapi mereka boleh mempengaruhi ahli keluarga yang dewasa untuk memilih apa saja yang ingin dibeli. Terutama sekali ibu bapa dan datuk nenek mereka.Di situlah terletaknya kuasa beli remaja.
  • Jika anda seorang tween (berumur 10 hingga 12 tahun, di antara seorang kanak-kanak dan remaja) atau seorang remaja (12 tahun hingga 19 tahun) dan anda menyukai sesuatu jenama, anda lebih cenderung untuk setia kepada jenama itu pada masa hadapan. Menjadikan anak-anak muda sebagai sasaran adalah satu strategi jangka masa panjang!

Hakikatnya, remaja menjanjikan pasaran yang amat menguntungkan – sekarang dan di masa akan datang.

Peluang Untuk Berubah

Disebabkan revolusi yang melanda otak mereka, remaja lelaki dan perempuan belum matang sepenuhnya walaupun mereka kelihatan sebaliknya. Mereka cenderung untuk bertindak mengikut perasaan dan mengambil risiko yang membahayakan. Bukan itu sahaja. Tahukah anda bahawa remaja membentuk tabiat yang mungkin berkekalan sepanjang hayat? Sebab itulah usia remaja dikenali sebagai TITIK PERALIHAN.

Di masa inilah anak anda membentuk personalitinya yang berterusan sehingga dewasa. Apabila anak anda mencecah usia remaja, dia seolah-olah tiba di suatu persimpangan jalan yang mempunyai banyak cabang dan dia perlu memutuskan jalan mana yang ingin diambil. Inilah sebabnya mengapa anda perlu memberikan perhatian yang khusus kepada anak remaja anda. Usia remaja memberikan satu peluang kepada anda anda untuk berubah, sama ada ke arah kebaikan atau sebaliknya.

Poin: Remaja mendapat lebih banyak keseronokan daripada merokok berbanding orang dewasa. Ini disebabkan cara otak mereka berfungsi. Jika mereka mula merokok pada usia remaja, mereka lebih cenderung untuk merokok sepanjang hayat. Tidak hairanlah mengapa pelbagai industri termasuk syarikat produk tembakau menjadikan remaja sebagai sasaran. Remaja yang sudah ketagihan sesuatu produk lebih cenderung untuk menagih produk tersebut seumur hidupnya.

Poin: Tabiat pemakanan juga terbentuk pada usia remaja. Remaja yang amat menggemari makanan dan suka makan berlebihan menurut nafsu berisiko mengalami obesiti (kegemukan) berkekalan. Remaja yang berat badannya berlebihan cenderung untuk kekal obes sepanjang hayat jika berat badannya tidak susut pada usia remaja.

Poin: Jika remaja terlalu banyak menonton televisiyen, pencapaian akademik mereka akan turut terjejas! Kajian di Columbia University College of Physicians and Surgeons di New York mendapati bahawa remaja yang terlalu kerap menonton televisyen hilang minat terhadap kerja sekolah dan menganggap sekolah terlalu sukar. Para pengkaji berpendapat ini berlaku apabila remaja terlalu banyak menonton televisyen yang bersifat pasif dan tidak memerlukan pemprosesan intelektual.

- Artikel iluvislam.com

No comments:

Post a Comment